Rabu, 18 April 2018 | 8:32pm
SEORANG penunggang motosikal terselamat walaupun terperosok di bawah kereta dalam kemalangan di kawasan perindustrian HKS, Jalan Bundusan, di Penampang. - Foto ihsan polis

Penunggang parah terperosok bawah Bentley

PENAMPANG: Seorang penunggang terselamat walaupun terperosok di bawah kereta mewah jenis Bentley dalam kemalangan di kawasan perindustrian HKS, Jalan Bundusan, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 25 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda parah pada kepala dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata mangsa yang dalam perjalanan dari arah kedai Kopi Wan Wan cuba mengelak daripada melanggar sebuah Toyota Avanza yang dikatakan membelok tiba-tiba untuk ke bengkel berdekatan.

"Selepas terlanggar sisi kanan pintu Toyota Avanza, penunggang motosikal terseret lalu terlanggar sisi kanan belakang Bentley yang diletakkan di hadapan bengkel berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa terperosok di bawah Bentley dan parah pada kepala sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

"Pemandu Toyota dan Bentley tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

50 dibaca
Berita Harian X