Rabu, 11 April 2018 | 12:33pm

Dituduh kemuka invois palsu PERKESO

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengemukakan invois mengandungi butiran palsu dan bersubahat berhubung pembekalan cenderahati dan gambar berserta bingkainya yang keseluruhan berjumlah RM91,500 tahun lalu.

Mohd Raji @ Mohd Radzi Kasdi, 51, seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan dan isterinya, Norlela Surip, 49, bekas kerani di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Raji didakwa memberi invois yang mengandungi butiran palsu daripada Syarikat Nadzwa Resources berjumlah RM42,000 kepada Pengurus Cawangan (Pentadbiran Am), Bahagian Khidmat Pengurusan PERKESO bagi membekal dan menghantar pelbagai cenderahati kepada PERKESO.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan Pentadbiran Am, Bahagian Khidmat Pengurusan, Menara PERKESO di sini pada 23 Januari 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah seksyen 24 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Norlela didakwa bersubahat dengan suaminya melakukan perbuatan yang sama di tempat dan tarikh yang sama dan bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibaca bersama seksyen 28(1) (c) akta SPRM dan boleh dihukum bawah sekyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Mereka juga didakwa bersama-sama memberi invois yang mengandungi butiran palsu daripada Syarikat M'Dia Enterprise berjumlah RM49,500 kepada pengurus yang sama bagi membekal dan menghantar gambar beserta bingkai kayu kepada PERKESO ditempat sama pada 27 Januari 2017.

Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman serupa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amira Sariaty Zainal manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Amira Sariaty mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan bagi setiap tertuduh namun pasangan itu memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kerana mereka mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Mei ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mohd Raji @ Mohd Radzi Kasdi dan isterinya, Norlela Surip dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tuduhan mengemukakan invois mengandungi butiran palsu dan bersubahat berhubung pembekalan cenderahati dan gambar berserta bingkainya yang keseluruhan berjumlah RM91,500 tahun lalu. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X