Ahad, 8 April 2018 | 11:35am
DUA beranak pekerja ladang maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Padang Serai - Sungai Karangan di Kulim, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Dua beranak maut motosikal tembung lori

KULIM: Dua beranak pekerja ladang maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Padang Serai - Sungai Karangan di sini, malam tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 9.30 malam, penunggang motosikal terbabit, E Dinesh, 19, bersama ibunya yang membonceng, R Vannie, 57, dari Kampung Paya Besar, Lunas, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata siasatan awal mendapati motosikal mangsa dari arah Padang Serai menghala ke Sungai Karangan sebelum bertembung dengan lori dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun dari arah bertentangan.

"Hasil siasatan awal mendapati apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai memotong sebuah kenderaan lain dan masuk ke laluan bertentangan.

"Bagaimanapun, jarak motosikal mangsa terlalu dekat lalu gagal mengelak daripada bertembung dengan lori terbabit," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemandu lori itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik, Hospital Kulim, untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X