Jumaat, 6 April 2018 | 5:29pm
PASUKAN mencari dan menyelamat membawa naik mayat mangsa lemas yang ditemui, di Sungai Kibunut, Penampang. - Foto Mohd Adam Arinin
PASUKAN mencari dan menyelamat membawa naik mayat mangsa lemas yang ditemui, di Sungai Kibunut, Penampang. - Foto Mohd Adam Arinin

Keseronokan lima remaja berakhir dengan tragedi

PENAMPANG: Kegembiraan lima remaja yang mandi di sungai Kampung Kibunut, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Nordiana Elesar, 15, dan rakannya dikenali sebagai Dinda, 15, ditemui lemas oleh penduduk kampung dan anggota bomba.

Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua remaja perempuan itu bersama tiga rakan mereka, termasuk dua lelaki dipercayai pergi ke sungai di kampung berkenaan untuk mandi.

Ketika berada di tepi sungai, kedua-dua mangsa dikatakan tergelincir lalu terjatuh sebelum rakan mereka yang melihat kejadian itu segera meminta bantuan penduduk dan menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Zainal @ John Radsung, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.50 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan penduduk kampung.

"Tidak lama selepas itu, seorang daripada penduduk yang menyertai operasi menemui kedua-dua mangsa di dasar sungai, tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan hilang pada jam 3.17 petang.

"Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Ema Mulisun, 15, berkata dia melihat kedua-dua rakannya tergelincir dan cuba menarik tangan salah seorang mangsa namun gagal.

"Saya melihat kedua-dua mereka tergelincir lalu terjatuh ke kawasan yang dalam di sungai berkenaan. Ketika itu, saya cuba menarik tangan salah seorang mereka, namun tidak berjaya disebabkan kawasan itu terlalu dalam," katanya.

Menurutnya, dia kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk menyelamatkan dua rakannya.

"Saya bersama mereka (mangsa) dengan dua lagi rakan pergi ke sungai itu untuk mandi," katanya.

280 dibaca
Berita Harian X