Rabu, 4 April 2018 | 4:04pm
LIMA lelaki dipercayai penagih dadah antara yang ditahan AADK dalam operasi di beberapa kawasan daerah itu bermula semalam hingga awal pagi tadi. - Foto Ihsan AADK

Bilal disyaki edar dadah ditahan

PENDANG: Seorang bilal masjid disyaki mengedar dadah, ditahan dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar daerah ini yang diadakan dari semalam hingga awal pagi tadi.

Dalam serbuan membabitkan 10 anggota AADK Daerah Pendang, suspek berusia 38 tahun itu diberkas bersama lima penagih dadah di sebuah rumah dipercayai sarang aktiviti berkenaan di Taman Sejahtera di sini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Pendang, Ahmad Zaher Hamid, berkata bilal itu ditahan bersama dadah dipercayai jenis heroin seberat 2.75 gram.

Katanya, suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala lima penagih terbabit ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Beliau berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut menahan 16 lelaki disyaki penagih dadah dalam serbuan di Taman Sejahtera, Kubur Panjang, Keda Tanjung Setol, Kampung Kubang Pisang, Kampung Pulau Machang dan Mukim Air Putih.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 43 tahun itu kemudian dibawa ke Pejabat AADK Daerah Pendang untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis opiat dan methamphetamine. Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.

Katanya, 17 penagih terbabit direman di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat, manakala empat yang lain diberi jamin pegawai AADK.

Berita Harian X