Selasa, 3 April 2018 | 4:01pm
PENGGUNA jalan raya diperiksa dengan 82 saman dikeluarkan pada Op Lawlessness oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Polis Daerah Subang Jaya di Puchong Perdana.

'Orang rumah pergi kerja'

SUBANG JAYA: "Orang rumah (isteri) pergi kerja. Anak tiada orang jaga, terpaksalah bawa anak-anak sekali."

Itu alasan diberikan seorang lelaki yang menunggang motosikal bersama tiga anak berusia antara dua tahun dan enam tahun ketika ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Polis Daerah Subang Jaya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Stesen LRT Puchong Perdana, di sini, pagi tadi.

Ketika ditahan kira-kira jam 8 pagi, lelaki berusia lewat 20-an itu dalam perjalanan menghantar seorang anaknya ke tadika berhampiran kediamannya di Puchong Perdana, tanpa memakai topi keledar dengan dua lagi anaknya duduk di bakul hadapan.

Lelaki berkenaan adalah antara 142 pengguna jalan raya yang diperiksa dalam Op Lawlessness, diketuai Ketua BSPT Subang Jaya, Deputi Superintendan Mohamad Nasir Drahman.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata tindakan lelaki berkenaan boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak.

"Kita nasihatkan ibu bapa untuk lebih bertanggungjawab dan jangan ambil mudah keselamatan anak-anak walau apa pun alasan mereka.

"Tiada alasan untuk tidak mematuhi undang-undang terutama sekali perkara yang membabitkan keselamatan diri," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Sementara itu, katanya, daripada jumlah 142 pengguna jalan raya yang diperiksa, 82 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, dengan 52 saman membabitkan kesalahan tidak memakai topi keledar.

"Seramai 21 pesalah lagi disaman kerana tidak mempunyai lesen memandu dan lima saman dikeluarkan atas kesalahan tiada cukai jalan sah, dua saman kerana tiada insurans serta dua saman atas lain-lain kesalahan.

Berita Harian X