Selasa, 3 April 2018 | 1:35pm
KEADAAN belakang bas ekspres selepas dirempuh lori. - Foto ihsan Bomba

Ayah maut, anak parah lori rempuh bas ekspres

KULAI: Seorang pemandu lori maut, manakala kelindan yang juga anak lelakinya parah selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang bas ekspres dalam kemalangan di Kilometer 45.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, kemalangan turut membabitkan tiga kenderaan lain, namun semua mangsa termasuk 27 penumpang bas ekspres tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata manga, Zainal Abidin Abdul Rahman, 57, meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan mayatnya dihantar ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat, manakala anaknya yang parah ialah Nazrul Haqim Zainal Abidin, 19.

Katanya, hasil siasatan awal pihaknya percaya kemalangan berlaku ketika semua kenderaan terbabit berada di lorong kiri jalan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, semua kenderaan bergerak perlahan dan lori dipandu mangsa tiba-tiba merempuh belakang bas ekspres menyebabkan bas berkenaan bergerak ke hadapan dan melanggar tiga kereta lain.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X