Selasa, 3 April 2018 | 10:29am
KEADAAN belakang bas ekspres selepas dirempuh lori dalam kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, malam tadi. - Foto Ihsan Bomba Dan Penyelamat

Bapa maut, anak parah lori rempuh bas

KULAI: Seorang pemandu lori maut, manakala kelindan yang juga anak lelakinya cedera parah apabila kenderaan dinaiki mereka itu merempuh belakang sebuah bas ekspres di Kilometer 45.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi.

Dalam nahas jam 10.45 malam, Zainal Abidin Abdul Rahman, 57, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara Nazrul Haqim Zainal Abidin, 19, parah.

Kemalangan itu turut membabitkan tiga lagi kenderaan tetapi kesemua mangsa lain, termasuk 27 penumpang bas ekspres berkenaan, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika semua kenderaan terbabit berada di lorong kiri jalan.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kesemua kenderaan itu dikatakan bergerak perlahan sebelum lori dipandu mangsa tiba-tiba merempuh belakang bas ekspres.

"Rempuhan itu dipercayai menyebabkan bas berkenaan terlanggar tiga kereta di hadapannya.

"Pemandu lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan mayat dihantar ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk bedah siasat pagi ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

22 dibaca
Berita Harian X