Ahad, 1 April 2018 | 2:27pm

Lelaki ditahan ketika cuba mencuri

PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki ketika asyik membuka skru penghadang jalan disyaki untuk dicurinya di Jalan Dumpil-Putatan, di sini, tengah malam tadi.

Kegiatan mencurigakan suspek kira-kira jam 12 tengah malam itu dikesan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ketika meronda di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata sebaik menyedari kehadiran polis berhampiran sebuah jambatan di situ, lelaki itu cuba lari.

Bagaimanapun, katanya, suspek gagal lolos selepas polis berjaya mengejar dan menahannya.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek sudah membuka tiga skru pada penghadang jalan yang diperbuat daripada besi untuk dicuri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Suspek berusia 33 tahun ditahan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri," katanya.

34 dibaca
Berita Harian X