Ahad, 1 April 2018 | 2:18pm

Wanita dicekik, dibelasah bekas suami

KUALA TERENGGANU: Tidak cukup dipukul di kepala menggunakan topi keledar, seorang wanita turut dicekik dan ditumbuk bekas suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Seberang Takir, di sini, Khamis lalu.

Akibat tindakan suspek berusia 41 tahun, mangsa berusia 29 tahun yang bekerja di kedai makan mengalami cedera dan bengkak di kepala, muka dan pipi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 pagi ketika mangsa berada di rumah sewanya sebelum didatangi suspek.

Beliau berkata, suspek bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar selain mencekik leher bekas isterinya.

"Tidak cukup dengan itu, suspek turut menumbuk muka dan pipi mangsa sebelum beredar meninggalkan rumah berkenaan.

"Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak mahu mangsa tinggal bersama kakaknya dan mangsa memaklumkan sudah bercerai dengan suspek pada Julai tahun lalu.

"Mangsa juga memaklumkan suspek adalah penagih dadah dan pernah ditangkap polis sebelum ini," katanya.

Idris berkata, susulan kejadian itu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Sekyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Berita Harian X