Ahad, 1 April 2018 | 11:22am
ANTARA dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas. - Foto PDRM
SUSPEK berusia 37 tahun yang ditahan sekali lagi dalam serbuan polis di Kampung Paya Saga, Pendang. - Foto PDRM

Tokan dadah tidak serik, ditahan lagi

PENDANG: Walaupun sudah 10 kali ditahan polis atas kesalahan berkaitan dadah, seorang lelaki dipercayai tokan tetap tidak serik meneruskan kegiatannya itu.

Suspek berusia 37 tahun itu ditahan sekali lagi dalam serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Saga di sini, semalam.

Ketika serbuan diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin pada jam 6.30 petang, suspek sedang duduk di dalam bilik tidur rumah itu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata pemeriksaan polis menemui sembilan peket plastik lutsinar (dalam keadaan bertaburan) dan tiga keratan straw lutsinar panjang berisi serbuk ketulan putih disyaki heroin dianggarkan seberat 50.94 gram (g) bernilai RM1,000 di dalam bilik itu.

"Pihak kami turut menemui satu paket lutsinar berisi serbuk hablur disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 6.72 gram bernilai RM700.

"Selain itu, ditemui sebilah gunting, satu alat penimbang digital dan beberapa keping plastik lutsinar dipercayai untuk aktiviti pembungkusan dadah.

"Suspek ditahan bersama barangan kes yang dibawa balik ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut," katanya.

Fadzil berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif morfin dan methaphetamine.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39A akta sama.

"Sebelum ini, suspek pernah ditahan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 (satu kes), Seksyen 12 (2) ADB 1952 (satu kes), Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 (enam kes) dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 (dua kes)," katanya.

Suspek yang menetap di Mukim Air Putih turut memiliki rekod jenayah mencuri.

Berita Harian X