Sabtu, 31 March 2018 | 2:34pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh (tiga, kanan) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas dalam lima serbuan pada 29 dan 30 Mac di sekitar Kajang Gombak dan Melaka, kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang. - Foto BERNAMA

STING tumpas sindiket dadah RM10 juta

KAJANG: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan enam individu dalam lima serbuan di Kajang, Gombak dan Melaka bermula malam kelmarin dan merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10 juta.

Difahamkan, dadah seberat 141.27 kilogram (kg) dibungkus menggunakan paket serbuk teh itu dibawa masuk dari Thailand sebelum diedarkan di pasaran tempatan oleh sindiket terbabit.

Pengarah JSJN, Datuk Sri Mohmad Salleh, berkata serbuan melalui Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang bermula jam 11.20 malam dan berakhir 12.30 tengah malam kelmarin itu turut mendapat kerjasama JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Melaka.

‎"Serbuan pertama di Jalan Bukit Kajang, di sini, menahan seorang lelaki berusia 30-an dipercayai ketua sindiket. Serbuan kedua di sebuah rumah kedai di Jalan Tun Abdul Aziz, dekat sini, menemui 120 bungkus dadah dianggarkan seberat 127 kg.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh (dua, kiri) menunjukkan mata wang asing yang dirampas dalam lima serbuan pada 29 dan 30 Mac di sekitar Kajang Gombak dan Melaka, kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang. - Foto BERNAMA

"Susulan itu, kami melakukan serbuan di sebuah kondominium di Taman Sri Gombak, Gombak dan menahan dua lelaki masing-masing berusia 50-an bersama seorang wanita warga Thailand berusia 30-an. Turut ditemui 11 bungkus dan empat bekas dadah jenis syabu seberat 12.8 kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, di sini, pagi tadi.

Mohmad berkata, pihaknya kemudian membuat serbuan di Bukit Pulau, Melaka, sebelum menahan seorang wanita, selain menemui sepucuk pistol dengan dua kelopak peluru dan 90 peluru.

"Dalam serbuan ini, kami merampas tiga bungkus dadah seberat 25 kg. Serbuan kemudian dibuat di Klebang, Melaka dan menahan seorang lelaki berusia 50-an," katanya.

Mohmad berkata, semua suspek direman sehingga 5 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua daripada suspek mempunyai rekod membabitkan kes jenayah serta dadah," katanya.

64 dibaca
Berita Harian X