Khamis, 29 March 2018 | 10:49am

Rumah urut hangus, 7 wanita China selamat

KUCHING : Sekumpulan tujuh tukang urut yang sedang nyenyak tidur dikejutkan asap tebal yang menyelubungi kediaman mereka di sebuah rumah urut di Tabuan Jaya di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, mangsa yang semuanya wanita warga China, tidak mengalami sebarang kecederaan apabila berjaya keluar dari bangunan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.26 pagi.

Beliau memaklumkan, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan bantuan sembilan anggota dari BBP Batu Lintang dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi didapati asap tebal keluar dari tingkat satu bangunan kedai itu yang menempatkan sebuah pusat urut.

"Bomba berjaya mengawal api dan tindakan pantas orang ramai yang menghubungi bomba berjaya mengelakkan api merebak ke seluruh premis," katanya.

Ling Hii berkata, pemeriksaan mendapati hanya kira-kira 50 peratus rumah urut itu terbakar dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian.

Berita Harian X