Selasa, 27 March 2018 | 1:09pm

Diheret ke mahkamah gara-gara tuntutan palsu

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana tidak mahu mengeluarkan RM1,140 untuk membayar kos membaiki kereta sendiri, seorang bekas Pengurus Besar berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000.

Tertuduh, Sa'adon Che Yahya, 54, yang juga Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) hari ini, dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dakwaan membuat tuntutan palsu tiga tahun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa memalsukan invois pembaikian kereta Toyota Fortuner milik PPNT berjumlah RM1,140, sedangkan pembayaran dibuat untuk kereta Toyota Wish miliknya.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di pejabat PPNT di Kuala Terengganu pada 25 Januari 2016.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sa'adon bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mohd Haldar menetapkan 10 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X