Selasa, 27 March 2018 | 11:19am
SEPASANG suami isteri warga Thailand menyerah diri selepas cubaan meloloskan diri daripada Jabatan Imigresen Kedah gagal dalam Ops Mega 2.0 di restoran ala Thai di Kuala Ketil, malam tadi. - Foto ihsan JIM KEDAH

Serah diri demi suami

ALOR SETAR: Demi suami, seorang wanita warga Thailand menyerah diri kepada anggota penguat kuasa yang menyerbu restoran ala Thai dalam Op Mega 2.0 di Kuala Ketil, malam tadi.

Wanita terbabit yang sempat melarikan diri melalui pintu belakang kedai bersama seorang pekerja wanita juga warga Thailand, berpatah balik selepas mendapati suaminya ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam serbuan kira-kira jam 10 malam.

Pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu antara 21 pekerja asing yang ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen termasuk melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja di sini.

Operasi bersama Majlis Daerah Baling, PDRM dan Pejabat Kesihatan Daerah Baling itu menyasarkan 12 restoran ala Thai di sekitar Kuala Ketil.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi selama empat jam bermula 8 malam itu, seramai 84 warga asing termasuk tempatan diperiksa.

Pemeriksaan di enam restoran mendapati 21 warga Thailand berusia antara 19-49 tahun melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka yang ditahan ini terdiri 15 lelaki dan enam wanita dipercayai melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan diberikan dan ada antara mereka langsung tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah.

"Ketika serbuan ini juga, ada antara mereka cuba melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran sehingga anggota kita terpaksa mengejar sejauh 200 meter, namun dapat ditangkap," katanya.

Zuhair berkata, semua pekerja asing itu akan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Semua yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X