Selasa, 27 March 2018 | 10:26am

Sempat tunai impian sebelum temui ajal

MIRI: Seorang pendaki warga British sempat menunaikan impiannya 'menawan' Puncak Pinnacle, Gunung Mulu, di sini kelmarin sebelum terjatuh di kaki gunung berkenaan semalam.

Difahamkan, Nigel Bevan, 50, hilang imbangan badan akibat keletihan ketika dalam perjalanan turun dari puncak berkenaan sebelum terjatuh dari paras ketinggian 1,710 meter dari aras laut.

Melihat kejadian mengejutkan itu, rakannya bertindak menghubungi pihak pengurusan Taman Negara Gunung Mulu bagi meminta bantuan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata sejurus menerima maklumat itu, sepasukan anggota dari Unit Udara Bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyalurkan bantuan.


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama Pasukan SAR Mulu Park mengangkat Nigel Bevan di Puncak Pinnacle Trail, Taman Negara Mulu untuk dibawa menggunakan helikopter Bomba ke Hospital di Miri. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Beliau memaklumkan, operasi membawa turun mangsa ke kem berhampiran oleh pasukan penyelamat mengambil masa lapan jam, dengan turut dibantu rakan pendaki lain dan penduduk kampung.

"Di lokasi kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan seluruh badan turut diberikan rawatan paramedik oleh pasukan penyelamat.

"Usaha menurunkan mangsa terpaksa dilakukan dengan berhati-hati kerana laluan berliku, malah antara laluan pendakian paling mencabar di Gunung Mulu," katanya.

Mengulas lanjut, Poh Kiong berkata mangsa berjaya dibawa ke Kem 5 Gunung Mulu kira-kira jam 6 pagi tadi, seterusnya diterbangkan ke Hospital Miri untuk rawatan susulan menggunakan helikopter Unit Udara Bomba.

"Mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam penerbangan ke Hospital Miri dan mayatnya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut," katanya.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur juga sudah dimaklumkan mengenai insiden terbabit.

82 dibaca
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama Pasukan SAR Mulu Park membantu Nigel Bevan di Puncak Pinnacle Trail, Taman Negara Mulu untuk dibawa menggunakan helikopter Bomba ke Hospital di Miri. - Foto Ihsan Jabatan Bomba Dan Penyelamat
ANGGOTA bomba membantu pelancong lelaki warga Britain, Nigel Bevan yang cedera di kepala akibat terjatuh ketika mendaki Gunung Mulu, Miri, malam tadi. - Foto bomba
Berita Harian X