Ahad, 25 March 2018 | 5:15pm
ANGGOTA APM mengangkat mayat mangsa lemas di Pantai Tanjung Balau dekat Bandar Penawar, pagi tadi. - Foto ihsan APM

Seorang lemas, rakan terselamat tragedi di pantai

KOTA TINGGI: Kegembiraan sekumpulan rakan bermandi-manda di Pantai Tanjung Balau dekat Bandar Penawar, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, Mohamad Syukri Kamalludin, 24, dari Taman Nusantara Bandar, Gelang Patah, maut, manakala seorang rakannya, Muhammad Danial Rezeki, 20, beralamat di Batu Caves, Selangor, pula nyaris lemas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata pihaknya menerima panggilan daripada petugas penyelamat di pantai terbabit memaklumkan kejadian itu dan mayat mangsa sudah ditemui.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan punca kematian disahkan lemas.

"Pemeriksaan pada tubuh mangsa juga mendapati tiada unsur jenayah. Mayat mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarga bagi tujuan pengebumian," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Tinggi, Mohd Sarul Nizam Khirudin, berkata insiden berlaku selepas lima minit mangsa dan rakannya bermandi-manda, dan seorang pengunjung yang menyedari kejadian itu memanggil anggota APM untuk bantuan.

"Seorang penyelamat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) bersama empat anggota APM ke lokasi kejadian dan mendapati rakan mangsa masih terapung sebelum berjaya diselamatkan.

"Mangsa pula didapati hilang dan selepas pencarian dilakukan, akhirnya timbul di permukaan air.

"Anggota APM cuba memberi rawatan kecemasan dan bantuan pernafasan selepas mangsa dibawa naik ke pesisir pantai. Namun, mangsa didapati tidak memberi respons sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X