Ahad, 25 March 2018 | 4:24pm
WAN Noor Syazwani Wan Safri cedera akibat terjatuh ketika menuruni Bukit Kutu di sini bersama tujuh rakannya, semalam.

Guru wanita jatuh turun bukit

KUALA KUBU BHARU: Seorang guru wanita berusia 23 tahun cedera akibat terjatuh ketika menuruni Bukit Kutu di sini bersama tujuh rakannya, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, Wan Noor Syazwani Wan Safri yang bertugas di sekolah swasta, cedera bahagian belakang badan, terseliuh kaki dan berkeadaan lemah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penguasa Bomba Kamil Hamadan, berkata mangsa bersama rakannya mendaki bukit itu mulai jam 7 pagi semalam sebelum tiba di puncak pada jam 12.50 tengah hari.

"Namun, ketika menuruni bukit pada kira-kira jam 2.30 petang, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan.

"Mangsa dibawa turun oleh rakan-rakannya. Setiba di bawah bukit, mangsa hampir pengsan menyebabkan seorang rakannya itu menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Beliau berkata, beberapa anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.50 malam.

Katanya, kedudukan mangsa dikesan berada pada jarak 11 kilometer dari kaki bukit di Kampung Orang Asli Pertak.

"Mangsa berjaya dibawa turun dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu. Operasi tamat pada jam 10.13 malam," katanya.

36 dibaca
Berita Harian X