Khamis, 22 March 2018 | 2:24pm

Wanita cedera motosikal ditolak peragut

KOTA BHARU: Dua lelaki yang berang kerana gagal meragut seorang tukang cuci, bertindak menolak hendal motosikal ditunggang wanita itu sehingga terjatuh di Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa berusia 31 tahun cedera di lutut kanan dan sakit bahu kiri selepas terjatuh di atas jalan raya.

Wanita itu kemudian dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kawasan berhampiran untuk makan tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata mangsa sedang menunggang motosikalnya ketika dihampiri dua lelaki menaiki motosikal Modenas Kriss.

Katanya, seorang daripada suspek terbabit cuba mengambil beg di dalam raga motosikal mangsa tetapi gagal.

"Suspek kemudian menolak hendal motosikal wanita itu menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya. Suspek pula terus melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan sebelum membuat laporan polis.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kerugian. Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X