Khamis, 22 March 2018 | 1:27pm

Geng Jimmy, Vios Putih kecundang

IPOH: Polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah sekolah di daerah ini dengan tertangkapnya enam anggota kumpulan Geng Jimmy berusia 22 hingga 33 tahun, termasuk dua wanita yang aktif melakukan kegiatan itu sejak Januari lalu.

Difahamkan, kumpulan itu sudah memecah masuk lapan sekolah, antaranya di Ampang Baru, Pekan Bharu, Pasir Puteh, Sungai Senam dan Manjoi sehingga mengakibatkan kerugian hampir puluhan ribu ringgit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun pada 14 Mac lalu di sebuah hotel di sini dan hasil siasatan mendapati suspek terbabit dalam lapan kes pecah sekolah.

Katanya, hasil penahanan suspek itu membolehkan polis melakukan tangkapan susulan dan berjaya merampas pelbagai barangan dipercayai daripada kegiatan dijalankan kumpulan itu.

Menurutnya, siasatan awal dijalankan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah dengan memasuki pagar sekolah di bahagian belakang sebelum mengumpil pintu untuk mencuri barangan berharga.

"Polis berjaya merampas barangan hasil pecah rumah dijalankan antaranya pelbagai jenis komputer riba, telefon bimbit dan kamera digital serta beg laptop yang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit.

"Kesemua suspek kini direman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Yahya berkata, polis juga berjaya menumpaskan satu kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dikenali sebagai Geng Vios Putih dengan tertangkapnya tujuh suspek berusia 27 hingga 55 tahun, termasuk dua wanita warga Vietnam.

Katanya, kesemua suspek ditahan dalam satu Ops Pintu dilancarkan IPD Ipoh sejak 12 Mac lalu dan kumpulan itu dipercayai terbabit dalam 13 kes pecah rumah antaranya di Taman Rishah, Bercham, Simpang Pulai, Mengelembu, Kampung Tawas dan Tambun.

Menurutnya, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas polis berjaya menahan dua lelaki berusia 27 dan 30 tahun serta dua wanita warga Vietnam di sebuah rumah di Chemor sebelum tangkapan susulan dilakukan.

"Tiga lagi suspek masing-masing ditahan di Pasir Puteh (Ipoh), Dang Wangi serta Jinjang (Kuala Lumpur) dan berjaya merampas pelbagai barangan antaranya sembilan telefon bimbit jenis Samsung dan Nokia, pelbagai barangan kemas dan komputer riba.

"Kesemua suspek akan disambung reman hari ini selepas tempoh reman awal tamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan," katanya.

18 dibaca
YAHYA (tengah) menunjukkan sebahagian barang rampasan daripada Kumpulan Geng Jimmy dan Vios Putih pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. - Foto L Manimaran
Berita Harian X