Rabu, 21 March 2018 | 6:19pm

Belasah isteri dengan lampu kalimantang

KULIM: Seorang wanita dibelasah suaminya menggunakan lampu kalimantang hanya kerana beliau enggan mendatangani surat penyerahan harta yang diwasiatkan kepadanya.

Dalam kejadian jam 10.30 malam semalam, mangsa berusia 44 tahun berselisih faham dengan suaminya berusia 40-an di kediaman mereka di Taman Nenas, di sini, selepas suspek memaksa mangsa menandatangani surat itu.

Sumber berkata, suspek mengamuk apabila isterinya enggan menandatangani surat itu dan menendang mangsa sebelum membelasah mangsa dengan lampu kalimantang.

"Suspek turut mengugut akan menyebarkan video hubungan seks mereka jika mangsa tetap berdegil.

"Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian keluar dari rumah itu dan membuat laporan di Balai Polis Kulim tengah malam tadi (semalam)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Suspek ditahan selepas memukul isterinya secara fizikal dan menggunakan lampu kalimantang.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya.

119 dibaca
Berita Harian X