Selasa, 20 March 2018 | 9:38pm
PASUKAN Penyelamat Di Air (PPDA) bersama penduduk tempatan membantu mencari seorang lagi anak mangsa, Wan Ukkasyah Wan Halem,12, dilaporkan masih hilang setelah bapa mangsa, Wan Halem Wan Mustapha,44 dan anak lelakinya, Wan Muhammad Muzzammil Wan Halem, 7, telah dijumpai di Pantai Sri Telong, Bachok. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

`Mereka seronok nak ke pantai'

BACHOK: "Mereka sekeluarga nampak seronok bercerita nak ke pantai. Tak sangka ajal mereka di sini," kata Mohd Naim Ibrahim, 34.

Mohd Naim adalah adik ipar kepada Wan Halem Wan Mustapha, 44, yang lemas bersama anaknya, Wan Muhammad Muzzammil Wan Halem, 7, di Pantai Sri Telong, Melawi, di sini, jam 2.45 petang tadi.

Seorang lagi mangsa, Wan Ukkasyah Wan Halem,12, dilaporkan masih hilang.

Mohd Naim, berkata kali terakhir beliau berjumpa keluarga terbabit, semalam ketika mereka berkumpul di rumah keluarga di Kampung Paloh, Palekbang, Tumpat.

"Tiada sebarang perubahan pada abang ipar dan anak saudara, malah isteri arwah yang juga kakak saya, Hamidah Ibrahim, 40, sempat menyediakan nasi Arab untuk hampir 20 ahli keluarga yang datang berkumpul.

"Ketika berkumpul, arwah ada beritahu nak bawa anak-anak ke pantai, esok (hari ini) sempena cuti sekolah. Kami terkejut apabila mendapat panggilan mereka lemas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Sri Telong, di sini.

Beliau berkata, arwah dan anaknya rapat dengan ahli keluarga, selain arwah turut mengajar al-Quran di Kampung Bunut Payong, berdekatan rumahnya.

"Anak-anak arwah juga rapat dengan saya dan saya berharap pencarian anak sulung mangsa yang masih hilang dipermudahkan," katanya.

Mohd Naim berkata, jenazah dua beranak itu akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Kampung Paloh.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar, berkata ketika mandi, anak kedua mangsa ,Wan Muhammad Umair,11 dipercayai lemas.

"Allahyarham Wan Halem dan dua anaknya cuba menyelamatkan Umair dan berjaya menolaknya ke tempat cetek sebelum ketiga-tiga mangsa dibawa arus dan lemas.

"Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZll) Kota Bharu untuk bedah siasat," katanya.

115 dibaca
Berita Harian X