Selasa, 20 March 2018 | 9:22pm

Lori terbabas hempap kereta

AMPANG: "Saya terdengar dua bunyi seakan letupan sebelum ternampak lori berkenaan sudah tersadai menghempap kereta berhampiran lampu isyarat," kata Umni Shahera Sidek, saksi kejadian sebuah lori terbabas di Jalan Taman Putra, dekat sini, petang tadi.

Umni Shahera berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dia bersama suami dan tiga anak dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Ampang untuk membeli kek menggunakan Jalan Hulu Langat berhampiran Bukit Ampang.

"Sebelum kejadian, kami dan tiga kereta lain mengekori belakang lori itu dan ketika turun dari Bukit Ampang, lori mungkin dipandu laju kerana tiba-tiba hilang daripada pandangan.

"Sejurus kemudian kami mendengar dua bunyi dentuman dan sebaik tiba di persimpangan, saya ternampak lori berkenaan terbalik dan menghempap sebuah kereta," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia tidak berhenti di lokasi kejadian kerana hujan dan tidak pasti mengenai situasi kedua-dua pemandu kenderaan terbabit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori, sebuah kereta PERODUA Axia, dua motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda

"Pemandu kereta PERODUA Axia seorang lelaki berusia 53 tahun mengalami luka ringan di bahu, manakala pemandu lori lelaki berusia 29 tahun dan pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

"Kecederaan dua penunggang motosikal tidak dapat dikenal pasti. Lori berkenaan dari arah Hulu Langat dan sedang turun Bukit Ampang. Pemandunya cuba membelok ke kiri sebelum hilang kawalan dan melanggar kenderaan pacuan empat roda serta PERODUA Axia.

"Pelanggaran menyebabkan tiga kenderaan itu terbabas ke kawasan letak kereta di kawasan rumah kedai dan terkena dua motosikal yang sedang parkir di situ. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 198, " katanya.

SEBUAH lori pasir terbabas dari Jalan Hulu Langat dan telah menghimpap sebuah kereta jenis Perodua Axia. - Foto Hafiz Sohaimi
SEBUAH lori pasir terbabas dari Jalan Hulu Langat dan telah menghimpap sebuah kereta jenis Perodua Axia. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X