Selasa, 20 March 2018 | 12:13pm

5 cedera nahas treler dekat Terowong Menora

IPOH: Lima cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua treler dan sebuah van di Kilometer 226.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Terowong Menora-Jelapang, arah selatan, dekat sini, tengah malam tadi.

Kemalangan jam 12.15 tengah malam itu turut mengakibatkan kesesakan lebih lima kilometer selama lebih tiga jam di laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata sebelum kejadian ketiga-tiga kenderaan dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan dan berada di lorong kiri lebuh raya.

Katanya, setiba di tempat kejadian, treler membawa muatan barangan sejuk beku secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang van yang membawa barangan jualan pasar malam di depannya, sebelum melanggar bahagian belakang treler yang membawa bahan makanan yang juga berada di lorong kiri.

"Selepas berlaku pelanggaran, van dan treler membawa bahan makanan berpusing dan masuk ke dalam longkang di kiri jalan manakala treler yang membawa muatan sejuk beku gagal mengawal kenderaannya lalu terbalik di tengah jalan menghalang kedua-dua lorong di tempat kejadian," katanya di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, akibat kemalangan itu, pemandu treler yang membawa muatan sejuk beku patah kaki kiri, manakala pemandu treler bahan makanan dan kelindannya serta pemandu van dan penumpangnya seorang wanita, cedera ringan.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa keluar dari kenderaan masing-masing oleh orang ramai serta pasukan bomba dan penyelamat sebelum menghantar mereka menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Katanya, siasatan lanjut kes itu dilakukan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Nor Azam Abd Rahman, berkata pihaknya memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan muatan yang dibawa kedua-dua treler berkenaan bertaburan di atas lebuh raya dan pihaknya membantu melakukan kerja-kerja pembersihan di jalan raya itu sebelum menamatkan sepenuhnya operasi pada jam 5.19 pagi.

Berita Harian X