Isnin, 19 March 2018 | 11:51am
Law Boon Ching dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), tahun lalu. - Foto Hairul Anuar Rahim
Lim Kim Chui dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan memberi rasuah RM500 kepada Pembantu Penguat kuasa MPK, Sharulnizam Isa sebagai dorongan untuk membatalkan dua kompaun MPK ke atas Restoran Ah Yu milik isterinya, Chun Nyuk Kiow.

Dua tuduh sogok penguat kuasa PBT

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik kilang tayar celup dipenjara sehari dan didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM300 kepada penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), tahun lalu.

Hakim Jailani Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Law Boon Ching, 43, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dan turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu dituduh memberi suapan wang tunai RM300 kepada Pembantu Penguat Kuasa, Nik Ekbar Effendi Nik Sazali, 31, yang bertugas di MPK sebagai dorongan untuk tidak menutup kilang Kras Tyres Enterprise dengan serta-merta.

Bagi perbuatan itu yang dilakukan di Jalan Batu Pahat, Kluang, pada jam 11.20 pagi, 29 November 2017, dia dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Peguam K Bharathi yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan saman yang sudah dijelaskan kepada pihak berkuasa tempatan itu (PBT).

"Tertuduh mempunyai isteri dan dua anak berusia enam dan tujuh tahun, dia juga menanggung ibu bapa yang masing-masing penghidap kanser dan sakit jantung.

"Sebagai majikan, tertuduh hanya menerima pendapatan RM3,600 dan ada pekerja kilang mendakwa dia belum membayar gaji mereka.

"Anak guam saya juga sudah menjelaskan saman RM3,000 kepada MPK," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman berkenaan dan turut memerintahkan wang RM300 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar.

Sementara itu, di mahkamah sama, pekerja restoran, Lim Kim Chui, 60, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM500 kepada Pembantu Penguat kuasa MPK, Sharulnizam Isa, 27, sebagai dorongan untuk membatalkan dua kompaun MPK ke atas Restoran Ah Yu milik isterinya, Chun Nyuk, Kiow, 54.

Kompaun itu dikeluarkan kerana pemilik restoran itu melakukan kesalahan meletak kerusi dan meja di kaki lima premis dan lebuh awam tanpa permit dan kebenaran MPK.

Mohamad Anis Redza yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM10,000 terhadap tertuduh.

Peguam Farhan Hamdan yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin yang ringan memandangkan anak guamnya menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah, selain lelaki itu adalah orang kurang upaya (OKU) yang hilang keupayaan selepas menghidap angin ahmar.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X