Isnin, 19 March 2018 | 11:24am

Jaga VIP ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan kediaman VIP yang mencuri masa bekerja untuk keluar membeli dadah, ditahan dalam operasi trafik bersepadu di Dataran Merdeka di sini, malam tadi.

Suspek berusia 60 tahun yang masih beruniform kerja, ditahan dalam Ops Gangster Jalanan bersama ratusan pengguna jalan raya lain.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata polis merampas sejumlah dadah daripada suspek yang turut didapati positif dadah.

Katanya, suspek mengaku pernah ditahan empat kali atas kesalahan sama dan siasatan mendapati bapa kepada enam anak itu terbabit dengan penyalahgunaan dadah sejak lebih 20 tahun lalu.

"Dia memberitahu baru membeli bekalan dadah, dipercayai heroin berharga RM40 dan ketika ditahan, dia dalam perjalanan balik ke tempat kerjanya," katanya ketika ditemui di lokasi malam tadi.

Seramai 800 pengguna jalan raya disaman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi operasi bersepadu membabitkan JSPT Bukit Aman, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sepanjang tiga hari operasi yang berakhir tengah malam tadi, polis mengeluarkan 843 saman atas pelbagai kesalahan antaranya mengubah suai nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tiada lesen memandu, lesen dan cukai jalan tamat tempoh, motosikal tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran serta tidak mengikat topi keledar.

Sebanyak 13 saman juga dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang mengeluarkan bunyi bising dan asap melebihi paras yang dibenarkan JAS yang berpunca daripada pengubahsuaian enjin.

JPJ turut mengeluarkan 137 saman atas pelbagai kesalahan.

ANGGOTA polis membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya dalam Ops Gangster Jalanan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya dalam Ops Gangster Jalanan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X