Jumaat, 16 March 2018 | 1:19pm

2 ditahan naiki motosikal curi

PENAMPANG: Dua lelaki ditahan polis di Jalan Bundusan di sini, awal pagi semalam, apabila motosikal mereka naiki didapati menggunakan nombor pendaftaran asal sebuah kereta.

Selain itu, hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal terbabit dilaporkan dicuri di kawasan Inanam tujuh tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata dalam kejadian jam 3 pagi, dua suspek berusia 20-an itu ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat berkeadaan mencurigakan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang bertugas.

"Hasil pemeriksaan menggunakan Peranti Penerimaan Kad Mudah Alih (MCAD) mendapati nombor pendaftaran asal pada motosikal itu adalah didaftarkan atas sebuah kereta.

"Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal itu dilaporkan dicuri di kawasan Inanam dekat sini, pada 2011," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.

Berita Harian X