Isnin, 12 March 2018 | 4:56pm

Remaja maut motosikal dirempuh kereta

SEREMBAN: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Taman Ampangan, Jalan Seremban - Kuala Pilah di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam, mangsa berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan, manakala pemboncengnya yang sebaya, cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 20 tahun, terlanggar motosikal mangsa yang dari arah Persiaran Cengal.

Katanya, perlanggaran itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan tercampak ke sebelah kiri jalan.

"Pemandu kereta serta pembonceng motosikal cedera ringan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ)," katanya di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HTJ untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

17 dibaca
Berita Harian X