Isnin, 12 March 2018 | 12:31pm
ENAM anggota wanita pasukan Light Strike Force (LSF) cedera apabila Land Rover dinaiki terbalik

6 anggota wanita LSF cedera

KUALA LUMPUR: Enam anggota wanita pasukan Light Strike Force (LSF) cedera apabila Land Rover dinaiki terbalik dalam kejadian di Jalan Mahameru, pagi tadi.

Difahamkan ketika kejadian pada jam 8.15 pagi, mereka dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk menyertai latihan pasukan.

Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata Land Rover terbabit adalah sebuah daripada tiga kenderaan sedang berkonvoi ke IPK Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, Land Rover dinaiki tujuh anggota, termasuk pemandu itu hilang kawalan sebelum terbalik di Jalan Mahameru.

"Pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Tiga anggota masih dirawat di zon kuning dan seorang di zon kritikal, manakala yang lain sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di HKL," katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada kerosakan fungsi kenderaan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X