Sabtu, 10 March 2018 | 3:39pm

Cerita mangsa ditetak suami meninggal tidak benar

KLANG: Berita bahawa seorang pekerja kilang wanita meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat cedera ditetak suami sendiri di Taman Klang Jaya di sini kelmarin disahkan palsu.

Perkara itu disahkan seorang ahli keluarga kepada mangsa, R Komathi, 42, menerusi satu kiriman pesanan audio aplikasi WhatsApp dalam bahasa Tamil.

"Maklumat yang viral (di Facebook) itu bohong semata-mata kerana mangsa masih dalam keadaan selamat dan sihat.

"Suami mangsa seorang yang panas baran dan cemburu buta. Enam bulan lalu, dia memukul mangsa dengan amat teruk kerana didorong rasa cemburu buta terhadap mangsa yang dikatakan mempunyai (hubungan dengan) lelaki lain," katanya.

Dakwanya, lelaki itu kemudian ada meminta Komathi untuk kembali kepadanya namun ditolak oleh mangsa. Ketika kejadian, dia dikatakan menemui Komathi untuk berbaik namun mangsa enggan dan situasi itu mengakibatkan dia marah serta bertindak di luar kawalan dengan menetak Komathi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil.

"Mereka yang menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Media sebelum ini melaporkan rakaman video seorang wanita cedera dibelasah suami dan rakan lelaki itu viral di laman sosial selepas dipercayai dirakam dari atas sebuah premis oleh orang awam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, lelaki berbaju kelabu berkenaan didapati memukul dan menetak isterinya dengan sebilah parang selain menendang serta menumbuknya di tepi sebuah kereta PROTON Satria.

Malah, kejadian itu turut disaksikan beberapa orang awam termasuk beberapa kanak-kanak yang secara kebetulan berada di kawasan berhampiran.

Selepas membelasah mangsa, suspek dan rakannya kemudian menarik isterinya masuk ke dalam kenderaan dan meninggalkan lokasi kejadian.

Polis kini masih memburu dua individu termasuk suami mangsa berusia 38 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X