Jumaat, 9 March 2018 | 6:17pm
RAKAMAN video menunjukkan kereta Mercedes Benz memandu melawan arus dan memaksa kereta di hadapannya untuk berundur, di PJU5/10, Petaling Jaya, malam tadi.

Lelaki berlagak pandu kereta lawan arus

PETALING JAYA: Seorang lelaki bertindak biadap apabila bukan saja memandu melawan arus, malah memaksa pemandu kereta lain mengundur kenderaan bagi memberi laluan kepadanya dalam kejadian di PJU5/10, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.57 malam itu, lelaki berusia 36 tahun yang memandu kereta Mercedes Benz melawan arus di laluan berkenaan sebelum memaksa pemandu PERODUA Bezza mengundurkan kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pemandu PERODUA Bezza berusia 26 tahun berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Damansara, di sini.

"Berdasarkan laporan lelaki itu, dia memaklumkan sebuah kereta Mercedes Benz dipandu seorang lelaki bertindak memandu melawan arus di laluan terbabit.

"Malah, pemandu terbabit juga dikatakan melanggar 'bumper' hadapan PERODUA Bezza dipandu mangsa dengan sengaja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1982.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta Mercedes Benz berkenaan bagi membantu siasatan.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati lelaki itu negatif dadah.

"Kejadian itu berlaku lebih 30 minit sebelum pemandu Mercedes Benz itu mengundurkan kenderaan sebelum beredar dari lokasi kejadian," katanya hari ini.

Terdahulu rakaman video kejadian itu yang berdurasi dua minit tiga saat itu turut tular di media sosial hari ini.

Rakaman video itu menunjukkan kereta Mercedes Benz memandu melawan arus dan dilihat memaksa kereta di hadapannya untuk berundur.

Kereta Mercedes Benz itu dilihat tidak mahu mengalah dan terus memandu kenderaannya secara melawan arus.

Berita Harian X