Khamis, 8 March 2018 | 2:19pm

Viral isteri dibelasah, suami dan rakan diburu polis

KUALA LUMPUR: Rakaman video seorang wanita cedera dibelasah oleh suami dan rakan suaminya di Taman Sentosa, Klang pagi tadi kini sudah menjadi viral di laman sosial.

Video rakaman suami wanita terbabit bersama rakannya membelasah mangsa yang viral sejak jam 11 pagi tadi dipercayai dirakam dari atas sebuah premis oleh orang awam yang melihat kejadian di Kawasan Perindustrian Klang Jaya, Taman Sentosa, Klang.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, suami wanita terbabit berbaju kelabu didapati memukul isterinya dengan sebilah parang selain menendang dan menumbuk isterinya di tepi sebuah kereta PROTON Satria.

Malah, kejadian itu turut disaksikan beberapa orang awam termasuk beberapa kanak-kanak yang secara kebetulan berada di kawasan berhampiran.

Selepas membelasah mangsa, suspek dan rakannya kemudian menarik isterinya masuk ke dalam kenderaan dan meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pada masa ini usaha mengesan lokasi kedudukan mangsa dan suspek sedang dijalankan.

"Sejak kejadian berkenaan dilaporkan oleh bapa mangsa, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, sudah menggerakkan pegawai dan anggota kami untuk menjejaki kenderaan dinaiki suspek.

"Pada masa ini kita tidak menolak kemungkinan mereka sudah berada di luar Lembah Klang," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, kejadian berkenaan bermotifkan cemburu.

Berita Harian X