Rabu, 7 March 2018 | 6:35pm
Antara peralatan dan dokumen yang dirampas oleh Jabatan Imigresen setelah berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Lembah Klang di kenali sebagai 'Abang Abu'. Dalam operasi tersebut JIM telah berjaya memberkas seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai dalang kepada satu sindiket pemalsuan dokumen yang bergerak aktif di kawasan sekitar Brickfields, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Jabatan Imigresen

Sindiket Abang Abu tumpas

Putrajaya: Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan permit dikenali sebagai kumpulan Abang Abu dalam serbuan di sekitar Brickfields.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pembongkaran sindiket terbaru itu rentetan kejayaan jabatan melumpuhkan rangkaian sindiket terbesar membabitkan penahanan 26 warga asing di sekitar Lembah Klang, semalam.

Beliau berkata, dalam operasi bermula jam 6 petang semalam dan berakhir 2 pagi tadi itu, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa memberkas seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun dipercayai dalang sindiket.

"Suspek ditahan ketika menunggu pelanggan untuk menyerahkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

"Hasil tangkapan itu, kami merampas dua pelekat PLKS; lima lesen memandu antarabangsa Nigeria dan satu lesen memandu Malaysia yang dipercayai palsu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Antara peralatan dan dokumen yang dirampas oleh Jabatan Imigresen setelah berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Lembah Klang di kenali sebagai 'Abang Abu'. Dalam operasi tersebut JIM telah berjaya memberkas seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai dalang kepada satu sindiket pemalsuan dokumen yang bergerak aktif di kawasan sekitar Brickfields, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Jabatan Imigresen

Katanya, suspek turut dibawa ke sebuah rumah di Jalan Thamby Abdullah, Brickfields dan hasil pemeriksaan menemui dua pelekat PLKS; lesen memandu antarabangsa Bangladesh (satu); lesen memandu antarabangsa Sierra Leone (satu); sekeping E-Kad (kad identiti pekerja asing mengikut sektor) dan tiga kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Mustafar berkata, turut ditemui sebuah komputer riba; sebuah mesin pencetak; alat pemotong kad; mesin laminating; pemotong pelekat dan sejumlah peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, suspek sudah menjalankan aktiviti berkenaan sejak dua tahun lalu dengan setiap kad palsu dijual antara RM100 hingga RM150 sekeping.

"Suspek turut memperoleh keuntungan antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil kegiatan berkenaan.

"Kami mendapati, suspek menerima tempahan kad palsu tanpa melalui orang tengah dan semua urus niaga dilakukan di restoran sekitar Brickfields," katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) dan 55D Akta Imigresen 1959/63.


Antara peralatan dan dokumen yang dirampas oleh Jabatan Imigresen setelah berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen terbesar di Lembah Klang di kenali sebagai 'Abang Abu'. Dalam operasi tersebut JIM telah berjaya memberkas seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai dalang kepada satu sindiket pemalsuan dokumen yang bergerak aktif di kawasan sekitar Brickfields, Kuala Lumpur. - Foto ihsan Jabatan Imigresen

Dalam pada itu, Mustafar berkata, pihaknya percaya terdapat banyak lagi sindiket sama giat beroperasi di negara ini memandangkan permintaan terhadap pelekat PLKS dan kad CIDB palsu sangat tinggi.

Justeru, katanya, pihaknya akan melipatgandakan usaha untuk membanteras kegiatan itu secara berterusan dan tidak akan berkompromi selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau majikan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.

Berita Harian X