Rabu, 7 March 2018 | 3:56pm

ESSCOM tahan 30 PATI

LAHAD DATU: Kanak-kanak perempuan warga Filipina berusia tiga tahun antara 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi bersepadu diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sini, malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 11.30 malam di rumah kongsi sebuah kilang di Batu 4, Jalan Sandakan-Lahad Datu itu, seramai 44 pekerja diperiksa dan daripada jumlah itu, 30 orang dikesan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata empat daripada 30 PATI yang ditahan itu adalah warga Indonesia manakala selebihnya warga Filipina kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan meragukan.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur antara tiga tahun hingga 52 tahun dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

"Mereka dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing," katanya di sini, hari ini.

Hazani berkata, operasi itu turut membabitkan pasukan dan agensi keselamatan lain antaranya polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan.

Berita Harian X