Isnin, 5 March 2018 | 10:18am
KEADAAN kebakaran Rumah Panjang King Brim Kartadem, Ulu Sebayang tujuh buah pintu telah terbakar 100 peratus di Ulu Limbang, Limbang. - Foto ihsan jabatan bomba dan penyelamat

27 penghuni rumah panjang hilang tempat berteduh

LIMBANG: Seramai 27 penghuni sebuah rumah panjang di pedalaman daerah ini hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, semalam.

Kejadian di Rumah Panjang King Brim Kartadem, Ulu Sebayang di Ulu Limbang itu dikatakan berlaku kira-kira jam 10 pagi semalam, namun bomba hanya dimaklumkan mengenainya pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Linggem, berkata beliau menerima maklumat berserta gambar kejadian daripada seorang pegawai kanan Pejabat Daerah Limbang yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 5.10 pagi tadi.

Berikutan itu, katanya, dua anggota dan seorang pegawai dari balai berkenaan dikerah ke lokasi menaiki pikap.


KEADAAN kebakaran Rumah Panjang King Brim Kartadem, Ulu Sebayang tujuh buah pintu telah terbakar 100 peratus di Ulu Limbang, Limbang. - Foto ihsan jabatan bomba dan penyelamat

"Kami menghantar anggota membuat pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Difahamkan, perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa lebih lima jam melalui jalan balak.

Tawang berkata, berdasarkan maklumat awal diterima, sejumlah tujuh pintu rumah panjang itu musnah 100 peratus.

"Seramai 27 penghuni dilaporkan kini menumpang di gereja berhampiran sementara menunggu bantuan.

"Kami masih menunggu laporan lengkap kejadian daripada anggota yang ke lokasi dan dijangka hanya akan balik semula ke Limbang, malam ini," katanya.

Berita Harian X