Ahad, 4 March 2018 | 10:26pm
LOKASI mangsa maut terjatuh gaung di Kilometer 222.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, Rembau, Negeri Sembilan. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat mangsa yang maut terjatuh dalam gaung.- Foto ihsan Bomba

Lelaki maut jatuh gaung

REMBAU: Niat seorang lelaki untuk mengambil air tidak kesampaian apabila dia ditemui mati terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter di Kilometer 222.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat Pedas Linggi, hari ini.

Mangsa, Jaharuddin Awang Chik, 56, disedari terjatuh oleh orang awam yang melalui laluan berkenaan sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan, jam 5.12 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid, berkata sebuah jentera dengan kekuatan seorang pegawai dan tujuh anggota bergegas ke lokasi.

"Bomba dimaklumkan, sebelum kejadian kereta dipandu mangsa rosak menyebabkan dia keluar untuk mencari air.

"Ketika mencari air, mangsa dikatakan tergelincir lalu jatuh ke bawah gaung sedalam 30 meter.

"Anggota terpaksa menuruni gaung untuk mengeluarkan mangsa. Namun, pemeriksaan oleh pegawai perubatan di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fuad berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan kemudian dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

11 dibaca
Berita Harian X