Khamis, 1 March 2018 | 9:51pm
MUSTAFAR Ali

Rangkaian sindiket palsu dokumen dilumpuhkan

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen membongkar rantaian sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pas residen dan ejen haram susulan penahanan 26 individu menerusi Ops Serkap yang dijalankan selama dua hari sejak Selasa lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi yang dijalankan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, Jabatan Imigresen di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang itu berjaya melumpuhkan sindiket yang didakwa mengenakan bayaran RM18,000 hingga RM50,000 kepada warga asing untuk mendapatkan dokumen berkenaan.

"Daripada sejumlah 26 orang itu, 18 adalah warga asing membabitkan 15 lelaki dan tiga wanita dan lapan lagi adalah lelaki tempatan.

"Daripada lapan warga tempatan itu, enam disyaki ejen haram atau orang tengah yang juga dalang utama untuk mendapatkan PLKS palsu, pas residen, pas lawatan sosial manakala dua lagi menjadi dalang pemalsuan dokumen untuk proses penggajian semula (rehiring)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata, hasil siasatan dan pengakuan daripada warga asing yang ditahan, bayaran sebanyak RM25,000 dikenakan kepada setiap seorang bagi mendapatkan pas residen, yang mana wang pendahuluan adalah RM18,000 dan baki RM7,000 perlu dibayar selepas memperoleh pelekat (pas residen).

"Pengakuan daripada seorang ejen yang ditahan pula mendapati bayaran RM18,000 hingga RM50,000 dikenakan untuk mendapatkan pelekat pas residen tetapi hingga kini mereka masih gagal mendapatkan pelekat berkenaan untuk warga asing yang sudah membuat bayaran.

"Dalam operasi berkenaan, sebuah kenderaan milik ejen turut dirampas dan hasil siasatan lanjut ke menemui sejumlah pasport warga asing, dokumen berkaitan imigresen serta beberapa dokumen palsu yang digunakan untuk mendaftarkan syarikat bagi proses penggajian semula (rehiring).

"Turut ditemui beberapa pasport yang sudah dikoyakkan pada muka surat tertentu yang mempunyai pelekat pas residen selain terdapat beberapa kesan cop atau pengesahan keluar masuk Jabatan Imigresen Malaysia yang cuba dipadamkan," katanya.

Mustafar berkata, operasi itu berterusan selama 48 jam kerana membabitkan beberapa syarikat yang dimiliki oleh pemilik yang mendakwa bergelar 'Datuk'.

"Beberapa syarikat diserbu oleh Unit Operasi Khas dan mendapati pemilik syarikat warga asing menggunakan warga Malaysia terutama ibu tunggal untuk mendapatkan lesen syarikat menggunakan nama mereka.

"Pemilik syarikat menggunakan nama mereka (wanita tempatan) kerana agak mudah untuk mendapatkan lesen perniagaan dan syarikat itu digunakan untuk mendaftarkan dan memproses permohonan penggajian semula, terutama daripada MyEG menggunakan dokumen serta sijil palsu," katanya.

Beliau berkata, semua 18 tahanan warga asing itu ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan dan tindakan susulan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala tahanan warga Malaysia direman empat hari untuk membantu siasatan.

Berita Harian X