Rabu, 28 Februari 2018 | 5:58pm

Dua beranak terlepas hukuman mati

GEORGETOWN: Dua beranak warga Afrika Selatan menangis kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Catherine Terblanche Millicent, 68, dan anak perempuannya, Leilanie Calitz, 41, menangis dan berpelukan sebaik mendengar keputusan dibacakan Hakim Datuk Lim Chong Fong.

Chong Fong membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan perkara paling penting iaitu identiti dadah yang dikatakan ditemui pada barangan milik kedua-dua tertuduh.

"Ahli kimia mengakui beliau tidak menguji sendiri ketulenan bahan dikatakan dadah itu dan hanya mengetahui jenisnya daripada 'hearsay' kakitangannya.

"Ini adalah satu kecacatan yang mana bahan utama itu gagal dibuktikan pihak pendakwaan. Jadi, kedua-dua tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Millicent didakwa menyeludup 3,087 gram dadah jenis methamphetamine di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), kira-kira jam 8.45 malam pada 11 November 2014, manakala Calitz didakwa mengedar 2,290 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan hari sama.

Pada awalnya, kes berkenaan turut membabitkan teman lelaki Calitz, Fred Philpott, 63. Bagaimanapun, Philpott meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam tahanan, awal tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka dipercayai tiba dari Kuala Lumpur untuk bercuti di negeri ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Liyana Mohd Jafri, manakala kedua-dua beranak itu diwakili K Simon Murali.

Millicent dan Calitz bagaimanapun kini ditahan semula Jabatan Imigresen kerana memiliki visa tamat tempoh.

DUA beranak warga Afrika Selatan menangis kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu. - Foto Danial Saad
Berita Harian X