Rabu, 28 Februari 2018 | 5:33pm
ORANG ramai melihat keadaan sebuah bas kilang yang tersangkut selepas tayar hadapan terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Serindit,Taman Tunku Putra. - Foto Azhar Hashim

2 beradik terselamat motosikal masuk tanah jerlus

KULIM: "Nasib saya tidak panik dan sempat menolak adik lelaki saya, manakala saya pula memijak motosikal yang tenggelam untuk melonjak naik ke permukaan air," kata A Arvin, 23, berhubung pengalaman ngeri terhumban ke dalam lubang tanah jerlus bersama motosikal ditunggangnya akibat paip air pecah di Jalan Serindit, Taman Tunku Putra, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, Arvin dalam perjalanan menghantar adik lelakinya A Vashistan,18, ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chio Min, di sini.

Katanya, ketika melalui lokasi kejadian, dia melihat sebuah bas kilang terkandas di tengah jalan dengan tayar hadapan sebelah kanan tenggelam dalam lubang dipenuhi air.

"Pada mulanya saya sangka kemungkinan tayar bas kilang itu masuk dalam lubang yang kecil saja kerana kelihatan dua lelaki di sebelah bahu jalan sedang memeriksa keadaan bas terbabit.

"Saya mengambil keputusan melalui sebelah kanan bas terbabit, ketika itu jalan digenangi air sebelum tiba-tiba motosikal kami terhumban ke dalam lubang besar," katanya ketika ditemui, hari ini.

Arvin bernasib baik kerana dia tidak panik dan sempat menolak adiknya ke belakang untuk berpaut pada tebing tanah, manakala dia tenggelam bersama motosikal.

"Saya tenggelam beberapa saat dalam air separas tengkuk dan sempat memijak motosikal untuk melonjakkan badan ke permukaan air sebelum diselamatkan dua lelaki yang berada di tepi bas," katanya.

Sementara itu, pemandu bas kilang terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Magen,39, berkata sebelum Arvin dan adiknya terjunam ke dalam lubang itu, bas dipandunya terlebih dulu tersekat apabila tayar hadapan terbenam ketika melalui jalan berkenaan pada jam 5.10 pagi.

Ketika kejadian, Magen sedang dalam perjalanan menghantar 12 pekerja di sebuah kilang di Perai, Pulau Pinang.

Katanya, ketika melalui jalan terbabit dia melihat air memenuhi atas jalan, tetapi tidak menyangka kewujudan lubang besar itu kerana laluan itu masih elok ketika kali terakhir melaluinya pada jam 8.30 malam tadi.

"Selepas tersangkut dalam lubang itu, saya cuba mengundurkan bas, namun tersekat lalu saya mengarahkan semua pekerja turun dan meminta bantuan rakan lain menghantar mereka," katanya.

Berita Harian X