Isnin, 26 Februari 2018 | 12:48pm

2 beradik ragut warga emas direman

KOTA BHARU: Dua beradik direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes meragut warga emas berusia 72 tahun di Taman Limau Manis, Jalan Hamzah di sini, semalam.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret, Rosli Ahmad, terhadap suspek berusia 27 dan 33 tahun itu sehingga 4 Mac ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-duanya yang berpakaian lokap ungu dan oren dibawa ke mahkamah jam 9 pagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Ibrahim Sharif, ketika dihubungi mengesahkan dua beradik itu direman untuk siasatan lanjut.

Dua beradik itu ditahan polis jam 1 tengah hari semalam selepas sejam meragut beg tangan seorang warga emas.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu mangsa, Wong Chui Ling cedera di kepala selepas terjatuh atas jalan raya.

Dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan kereta Proton Persona milik ibu mentua seorang daripada mereka.

Mereka ditahan di rumah mentua seorang lelaki itu di Jalan Bayam selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu tersebar di media sosial.

Turut ditemui bersama mereka adalah beg tangan mangsa yang diragut dengan sebahagian wang sudah digunakan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methampetamine.

DUA beradik berusia 27 dan 33 tahun ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes meragut seorang warga emas berusia 72 tahun di Taman Limau Manis, Jalan Hamzah. - Foto Zaman Huri Isa
Berita Harian X