Ahad, 25 Februari 2018 | 8:36pm
REMAJA lelaki (kiri) yang ditahan bersama ayamnya selepas dia bersembunyi dalam semak hampir 30 minit. - Foto Mikail Ong
ANGGOTA polis berjaya merampas 10 ekor ayam sabung dalam operasi di Kubang Semang, Bukit Mertajam. - Foto Mikail Ong

'Apasal kau berkokok...'

BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja menyangka helah bersembunyi hampir setengah jam dalam semak, dapat menyelamatkannya daripada dikesan polis dalam operasi cegah jenayah di Kubang Semang, petang tadi.

Malangnya, ayam sabung kesayangan yang erat dipeluk sepanjang bersembunyi tiba-tiba berkokok, sekali gus menarik perhatian pihak berkuasa yang membuat serbuan.

Dalam operasi jam 4 petang itu, remaja berusia 19 tahun itu awalnya dapat meloloskan diri dan bersembunyi dalam semak berhampiran bersama ayam sabungnya sebelum haiwan berkenaan 'berpaling tadah' bagi membolehkan tuannya ditahan.

Serbuan sama turut menyaksikan seorang lelaki warga Indonesia menyerah diri selepas hampir pitam akibat cuaca panas ketika bersembunyi.

Operasi diketuai Pegawai Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Asisten Superintendan Mohd Zulkefli Mohd Mukhtar dan Inspektor Ahmad Hasbi Mohd Fauzi dari Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat.

Wartawan dan jurugambar NSTP yang berpeluang mengikuti operasi berkenaan, dibawa ke sebuah kampung yang terletak agak jauh dari jalan besar.

Sebaik tiba, pegawai dan anggota polis menyerbu lokasi terbabit, menyebabkan kaki judi yang leka bertaruh bertempiaran melarikan diri.

Tinjauan di lokasi mendapati mereka menjadikan kawasan hujung kampung berhampiran landasan kereta api sebagai gelanggang dengan berbumbung kanvas.

Difahamkan, mereka menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat pertaruhan sejak tiga minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata seramai 16 lelaki ditahan ketika leka bertaruh.

"Mereka membabitkan 11 lelaki warga tempatan, empat warga Indonesia dan seorang warga Myanmar," katanya.

Berita Harian X