Ahad, 25 Februari 2018 | 7:31pm
EMPAT kanak-kanak yang melarikan diri selepas takut dimarahi keluarga kerana mandi di sungai di Kampung Telagus, Simunjan ditemui selamat. - Foto ihsan Bomba

4 budak menyorok takut dimarahi

SIMUNJAN: Dek takut dimarahi ibu bapa kerana mandi di sungai, empat kanak-kanak termasuk dua perempuan, bertindak menyorok di sebuah kilang di Kampung Telagus, di sini, petang semalam.

Kanak-kanak berusia antara 11 hingga 14 tahun itu tidak kembali ke rumah sehingga lewat petang menyebabkan ahli keluarga seorang daripada mereka membuat laporan di Balai Polis Simunjan, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya yang menerima maklumat daripada polis berhubung kejadian itu pada jam 8.23 pagi tadi, segera menggerakkan anggota untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dengan bantuan lima anggota dari BBP Batu Lintang dan dua anggota dari BBP Serian serta BBP Kota Samarahan.

"Ketika semua anggota sedang melaksanakan operasi pencarian di dalam hutan itu tengah hari tadi, seorang penduduk kampung menghubungi ibu seorang daripada kanak-kanak terbabit dan memaklumkan empat kanak-kanak itu berada di sebuah kilang kelapa sawit berdekatan kampung mereka.

"Mereka bersembunyi di sebuah rumah di kilang itu semalaman, kerana takut dimarahi keluarga masing-masing kerana mandi di sungai di kampung mereka," katanya.

Berikutan itu, katanya, anggota bomba pergi ke kilang kelapa sawit itu dan mengambil kanak-kanak terbabit sebelum menyerahkan mereka kepada keluarga masing-masing.

"Semua kanak-kanak itu ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan dan operasi yang membabitkan anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat itu ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Berita Harian X