Ahad, 25 Februari 2018 | 1:36pm
ABDUL Razak (gambar kecil) maut akibat selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Masjid Peringat di Kota Bharu, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Warga emas maut motosikal dirempuh

KOTA BHARU: Seorang warga emas maut selepas motosikal diboncengnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Masjid Peringat di sini, malam tadi.

Dalam insiden jam 9.45 malam, Abdul Razak Ismail, 73, maut di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal, Mat Yunan Mat Salleh, 61, cedera di kepala dan perut serta dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu kereta Perodua Axia berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata kereta terbabit dipercayai dipandu dari arah Melor menghala ke Kota Bharu.

"Dipercayai apabila tiba di lokasi kejadian, kereta itu tiba-tiba berlanggar dengan motosikal Honda Wave dinaiki mangsa.

"Perlanggaran menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal ke atas jalan raya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X