Ahad, 25 Februari 2018 | 12:17pm
PISAU yang dipercayai digunakan dalam insiden itu. - Foto Hazsyah Abdul Rahman

Wanita parah diserang ibu saudara

KINABATANGAN: Seorang wanita parah dipercayai diserang oleh ibu saudara sendiri menggunakan pisau kerana disyaki menjalin hubungan sulit dengan suaminya, semalam.

Dalam kejadian jam 7.57 pagi di rumah pekerja ladang di Jeroco dekat sini, mangsa berusia 26 tahun yang cedera di kepala, betis, lutut dan jari, dikejarkan ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kejadian itu disedari pihak pengurusan ladang terbabit sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden A Sahak Rahman, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 33 tahun dikatakan berang kerana mengesyaki suaminya ada hubungan sulit dengan mangsa.

"Dipercayai mangsa yang sedang berehat di hadapan rumahnya didatangi suspek sebelum diserang dengan sebilah pisau berukuran 30 sentimeter.

"Berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek sehingga mangsa cedera di kepala dan mengalami kesan kelar di jari, lutut serta betis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa difahamkan adalah janda dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun.

A Sahak berkata, polis segera ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat dan membuat tangkapan ke atas suspek, selain merampas pisau dipercayai digunakan dalam insiden itu.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.

"Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kinabatangan untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam.

Keterangan gambar:

1. Pisau dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian.

Berita Harian X