Jumaat, 23 Februari 2018 | 9:47pm
KEADAAN kereta PERODUA Myvi yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang lelaki parah manakala dua beradik cedera ringan di Jalan Pengkalan Chepa, berdekatan kem tentera 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD), Pengakalan Chepa. - Foto Ihsan Pembaca

3 cedera kereta rempuh pagar kem tentera

KOTA BHARU: Lelaki parah dan dua beradik cedera dalam kemalangan sebuah kereta di Jalan Pengkalan Chepa, berdekatan kem tentera 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) di sini hari ini.

Dalam kemalangan jam 5.20 petang itu, pemandu, Muhammad Faris Muda, 26, cedera di badan manakala penumpang, Nurul Shuhadah Mohd Yunus, 23, serta adiknya, Nurul Syafiqah, 22, luka di kepala dan perut.

Kereta PERODUA Myvi yang dipandu Muhammad Faris dalam perjalanan dari Pasir Tumboh ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pagar Kem 21 RAMD.

Kakak Nurul Shuhadah, Nur Hazirah, 24, berkata, dia bersama ibu, ibu saudara dan adik menaiki kereta jenis Honda Civic berada di hadapan manakala adiknya di belakang.

Katanya, mereka dalam perjalanan ke LTSIP untuk menghantar ibu saudaranya menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur.

"Saya mengetahui kejadian selepas orang ramai menghubungi ibu yang memaklumkan adik kemalangan.

"Kami terus ke lokasi kejadian dan mendapati adik cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, rakan dan dua adiknya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

"Ketika kejadian keadaan jalan yang licin menyebabkan kereta dipandu rakan adik hilang kawalan, namun bersyukur kerana mereka selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Berita Harian X