Khamis, 22 Februari 2018 | 7:10pm
KAKITANGAN Kementerian membawa dokumen dan bukti kes doktor gigi palsu ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Doktor gigi palsu dipenjara 2 tahun, denda RM100,000

KUALA LUMPUR: Seorang wanita didenda RM100,000 dan penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa lesen di sebuah bilik hotel, tiga tahun lalu.

Hakim Harmi Thamri Mohamed@Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap peniaga kosmetik atas talian, Fatin Nabilah Mohamad Hassan, 26, selaku orang kena saman (OKS) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

OKS bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan dimaklumkan oleh peguamnya, Khairul Amin Abdullah bahawa anak guamnya itu kini berada di Hospital Melaka kerana sedang menjalani rawatan akupuntur akibat mengalami masalah diska tergelincir (slipped disk).

Mahkamah tetap meneruskan prosiding berikutan sudah memberi masa lebih dua minggu untuk OKS menguruskan mengenai kesihatannya.

Hukuman penjara itu berkuat kuasa selepas OKS melapor diri di penjara. Fatin Nabilah turut berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.

Pada prosiding itu juga, mahkamah menolak penangguhan pelaksanaan hukuman penjara yang dimohon oleh peguam dan memerintahkan OKS membayar denda dengan segera.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Harmi berkata, kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius yang perlu dipandang berat oleh semua pihak.

"Ia boleh memberi kesan yang besar kepada kesihatan pesakit dan orang awam yang memasang pendakap gigi menggunakan perkhidmatan tidak berdaftar.

"Mahkamah berharap orang awam tampil memberi maklumat kepada Kementerian Kesihatan mengenai mana-mana individu tidak berdaftar yang menjalankan prosedur pemasangan pendakap gigi," katanya.

Mengikut pertuduhan, Fatin Nabilah didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di sebuah bilik hotel di Jalan Metro Pudu 2, Frazer Business Park di sini pada 12.10 tengah hari, 11 Disember 2015.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut subseksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Kesihatan, Nurul Khairiyah Samsudin memohon mahkamah memberikan hukuman maksimum kepada OKS dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius membabitkan kesihatan dan keselamatan awam.

"Kes-kes berkaitan pemasangan pendakap gigi semakin mendapat perhatian kerana bukan saja disiarkan di televisyen malah dalam akhbar.

"Mahkamah juga perlu mengambil kira perilaku OKS yang acap kali tidak hadir ke mahkamah tanpa mengemukakan bukti termasuk sijil cuti sakit daripada klinik kesihatan kerajaan yang mengesahkan dia tidak dapat hadir ke mahkamah kerana faktor kesihatan," katanya.

Khairul Amin bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya atas alasan ini adalah kesalahan pertama OKS selain dia datang daripada keluarga sederhana.

Berita Harian X