Selasa, 20 Februari 2018 | 9:03pm
AHLI keluarga mangsa, Norhayati Zailan, 40 sebak (kanan) ketika anggota Bomba dan Penyelamat membawa naik mayat adiknya, Silawati Zailan di tebing sungai ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, Sungai Buloh. - Foto Syarafiq Abd Samad

Suasana hiba di bilik mayat

SUNGAI BULOH: "Ya Allah berat sungguh ujianMu."

Itu antara luahan suami mangsa lemas, Syamsul Azhar Maula, apabila 'menyambut' mayat isterinya, Jeleha Hashim, 48, di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini, hari ini.

Lebih menyayat hati, tiga anak mangsa menangis hiba hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga lain apabila melihat jasad ibu mereka.

Syamsul Azhar, 33, berkata dia terkilan dan sedih apabila melihat isterinya hanyut di depan mata selepas berhempas pulas menyelamatkannya.

"Saya sedih kerana tidak dapat menyelamatkannya," katanya ketika ditemui.

Jeleha, adalah antara lima mangsa yang lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh.

Mayat Jeleha ditemui jam 3.45 petang tadi tersangkut pada semak dalam sungai berhampiran Desa Coalfields di sini, kira-kira 19 kilometer dari lokasi kejadian.

Berita Harian X