Selasa, 20 Februari 2018 | 6:48pm
ANTARA peralatan yang dirampas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika menumpaskan satu sindiket pemalsuan dan cop keselamatan yang didalangi seorang lelaki warga Pakistan di Seri Gombak. - Foto ihsan Jabatan Imigresen Malaysia
ANTARA peralatan yang dirampas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika menumpaskan satu sindiket pemalsuan dan cop keselamatan yang didalangi seorang lelaki warga Pakistan di Seri Gombak. - Foto ihsan Jabatan Imigresen Malaysia

Sindiket palsu dokumen, Imigresen tahan lelaki Pakistan

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen malam tadi, menahan seorang lelaki warga Pakistan yang terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen dengan menyasarkan warga asing yang tinggal di negara ini melebihi masa ditetapkan.

Lelaki terbabit mengaut keuntungan dengan mengenakan caj RM200 bagi khidmat 'pas khas' untuk tempoh 30 hari, manakala bayaran RM100 bagi cop keselamatan keluar masuk di pintu masuk utama negara.

Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen yang aktif sejak lebih setahun lalu itu membolehkan warga asing tinggal lebih lama di negara ini tanpa perlu berurusan dengan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata turut ditahan dalam operasi itu ialah dua lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia 13 tahun dan seorang wanita, semuanya dipercayai adik-beradik kepada lelaki Pakistan berkenaan.

Beliau berkata, mereka ditahan di sebuah premis di Seri Gombak, Selangor, pada jam 8 malam ketika lelaki Pakistan terbabit sedang berurusan dengan seorang pelanggan.

Katanya, pemeriksaan pada badan suspek menemui cop keselamatan keluar masuk palsu, cop keselamatan Singapura, cop nama pegawai kanan Imigresen, beberapa pasport antarabangsa, pelekat keselamatan (PLKS) dan salinan 'pas khas' disyaki bagi tujuan pemalsuan dokumen.

"Aktiviti pemalsuan ini dipercayai didalangi lelaki Pakistan berusia 26 tahun itu yang aktif sejak lebih setahun lalu.

"Suspek yang menetap di Malaysia menggunakan Pas Tanggungan hanya akan berurusan dengan pelanggan dikenali di sekitar Lembah Klang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata, hasil siasatan awal mendapati cop keselamatan Imigresen berkenaan pada mulanya dimiliki seorang suspek warga tempatan yang kemudiannya dijual kepada suspek dengan harga RM1,000 setiap satu.

"Suspek berkenaan dipercayai terbabit dengan rantaian aktiviti pemalsuan PLKS yang dikeluarkan Imigresen, selain mempunyai rangkaian pelanggan dari Pakistan, India, Filipina dan Nigeria berdasarkan beberapa pasport ditemui di bilik utama.

"Kebiasaannya, suspek hanya akan berjumpa pelanggan tetap di premis ditetapkan dan akan mengecop keselamatan Imigresen pada pasport pelanggan sama ada di dalam kereta atau tandas.

"Lelaki Pakistan itu akan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) iaitu membuat atau memalsukan atau meminda suatu dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau kelayakan," katanya.

Difahamkan, warga asing yang mendapat 'pas khas' palsu menggunakan nama pegawai Imigresen itu tidak perlu risau nama mereka disenarai hitam atau ditahan Imigresen kerana tinggal melebihi masa.

Malah, pendatang asing yang memperoleh cop keselamatan keluar masuk tidak perlu balik ke negara asal dan kembali semula ke sini, kerana selepas mendapatkan cop di atas pasport mereka, mereka seolah-olah sudah keluar dan masuk kembali ke Malaysia.

Berita Harian X