Selasa, 20 Februari 2018 | 2:30pm
SERAMAI 113 pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen dalam Ops Ikrar yang dilakukan di kawasan pembinaan di Batu Kawan, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

112 pekerja asing tanpa izin ditahan

BUKIT MERTAJAM: Seramai 112 pekerja asing tanpa izin di tapak pembinaan di Bandar Cassia, Batu Kawan, ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 2 pagi, 23 anggota penguat kuasa imigresen mengadakan pemeriksaan di kawasan penempatan berdekatan tapak pembinaan itu hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Pulau Pinang, Khwaja Banthey Navaz Mohamed Haneef, berkata hasil pemeriksaan mendapati warga asing terbabit tidak memiliki pas sah untuk bekerja di negara ini.

"Oleh itu, kesemua mereka membabitkan warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar, ditahan serta dibawa ke Depo Tahanan Imigresen di Juru untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu dalam operasi berasingan, Jabatan Imigresen negeri turut menahan 15 warga asing didapati melanggar peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Serbuan diadakan di beberapa lokasi dalam daerah ini bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Berita Harian X