Selasa, 20 Februari 2018 | 2:25pm

Fenomena 'kepala air' perkara biasa

SUNGAI BULOH: Fenomena 'kepala air' yang dipercayai menjadi punca arus deras di Sungai Gasi sehingga menghanyutkan lapan orang pemancing petang semalam, bukan satu kejadian luar biasa.

Penduduk Kampung Paya Jaya Jaras Ulu, ef, 53, berkata kepala air sering berlaku setiap kali selepas hujan lebat.

Katanya, walaupun kawasan ini tidak hujan, kepala air masih boleh berlaku jika hujan lebat di kawasan bukit.

"Penduduk kampung ini tiada yang pergi memancing di kawasan berlaku kejadian lemas semalam.

"Kawasan sungai di belakang rumah saya ini memang laluan kepala air, selalunya air boleh melimpah sampai ke tebing setiap kali kepala air lalu," katanya di sini, hari ini.

Peniaga, Adisman Samsuddin, 50, berkata kawasan lubuk Sungai Gasi berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh memang tumpuan pemancing.

"Ikan di situ besar, tetapi Sungai Gasi berbahaya kerana selalu ada kepala air setiap kali selepas hujan.

"Lagipun kawasan sungai tu sekarang agak dalam sebab ada projek mendalamkan dasar sungai bagi mengelak banjir.

"Saya rasa mereka (pemancing) tidak sedar ada kepala air menuju ke arah mereka sebab kawasan ini tidak hujan petang semalam, mereka terkejut dan terus dihanyutkan arus deras tanpa sempat menyelamatkan diri," katanya.

Pengawal keselamatan, Shamsul Bahari Wahab, 48, pula berkata setiap kali berlaku fenomena kepala air, air akan mencecah sehingga lima hingga enam meter.

"Kepala air berbahaya kerana ia datang tanpa disedari, penduduk di sini jarang memancing di situ sebab tahu pada bila-bila masa kepala air boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Azmi Osman, berkata ketinggian air sungai setiap kali berlakunya kepala air adalah sekitar enam hingga tujuh meter.

"Sungai ini laluan ke laut, arus deras yang dikenali sebagai kepala air ini direkodkan setinggi kira enam hingga tujuh meter.

"Ia memang berbahaya kepada orang ramai kerana ada kalanya ia berlaku tiba-tiba tanpa sebarang tanda," katanya.

151 dibaca
PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman (kanan) bersama anggota Bomba dan Penyelamat meneruskan operasi menyelamat bagi mencari mangsa lemas di tebing sungai ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pemancing dihanyut arus di Sungai Gasi, Sungai Buloh. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X